Followers

Friday, August 10, 2012

Lahirkan Kembar Empat Setelah 3 Tahun Menanti Anak Bazilah Redha Biarpun Masuk ICU


Salam Jumaat :

Seronoknya if satu hari nanti aku dikurniakan rezeki macam nie....kembar empat terus....


Kehadiran zuriat sememangnya menjadi detik yang amat dinanti-nantikan oleh pasangan suami isteri, apatah lagi setelah beberapa tahun mendirikan rumah tangga. Begitu jugalah kepada sepasang suami isteri, Mohd Sazalee Mohd Hilal, 35, dan Nor Bazilah Amin, 27 tahun. Tiga tahun mereka menunggu cahaya mata yang akan menyerikan kehidupan mereka dan pelbagai kaedah dilakukan untuk tujuan tersebut.

Tidak sahaja mencuba kaedah tradisional seperti berurut, Nor Bazilah juga mengambil pemakanan tambahan. Bagaimanapun usahanya tidak ber jaya. Hanya setelah bertemu dengan pakar perubatan, dimaklumkan bahawa dia mengalami masalah gangguan hormon, sekaligus berlakunya pertambahan berat badan.

“Menurut doktor, jika saya mahu mengandung, saya perlu menurunkan berat badan terlebih dahulu. Itu yang saya usahakan. Dalam masa yang sama, saya disarankan untuk mengikuti prosedur ‘Intra Uterine Insemination’ (IUI), namun saya redha dengan sebarang kemungkinan. Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, kerana bimbang ia tidak berjaya.

“Setelah melalui prosedur berkenaan, doktor menyelia keadaan saya setiap minggu. Sehinggalah masuk minggu keempat, saya disahkan mengandung. Gembiranya kami ketika itu,” katanya menceritakan detik awal kehamilannya.

Khabar gembira itu lantas dikhabarkan kepada keluarga terdekat. Bagaimanapun kegembiraan tersebut berganda bercampur debaran yang begitu mengejutkan apabila ketika kandungan Nor Bazilah berusia lapan minggu, doktor mengesahkan bukan ada sekadar satu janin tetapi empat.

Dari detik itu, bermulalah episod baru dalam hidup Nor Bazilah. Dia terpaksa mengambil cuti selama setahun kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. Malah Nor Bazilah yang bertugas sebagai jururawat sering kali berulang-alik ke hospital untuk mendapat pengawasan rapi daripada doktor.

“Saya tidak mempunyai pengalaman yang menyeronokkan sepanjang tempoh kehamilan ini. Setiap kali makan atau minum, pasti muntah. Pernah saya dimasukkan air sehingga 60 botol kerana kekurangan air dalam tubuh. Bukan itu sahaja, saya juga mengalami kesukaran untuk bernafas. Hanya apabila kandungan masuk tujuh bulan, barulah saya berasa sedikit lega kerana kedudukan bayi sudah beranjak ke bawah.

“Emosi saya juga tidak stabil. Saya mudah mengamuk. Akibatnya semua ahli keluarga turut mengalami tekanan akibat daripada ketidakstabilan emosi saya. Tidak seperti wanita yang pertama kali mengandung, mereka teruja untuk membeli-belah kelengkapan bayi tetapi saya tidak berpeluang merasainya. Saya tidak dapat berlama-lama di pusat beli-belah dan hanya membeli barang yang benar-benar perlu sahaja.

“Sebulan sebelum bersalin, saya sudah dimasukkan ke wad. Jarak bayi dengan pintu rahim cuma satu sentimeter. Risau dengan keadaan tersebut, doktor tidak lagi membenarkan saya keluar dari hospital. Berada di hospital sepanjang masa membuatkan saya bosan, tetapi mengenangkan risikonya yang tinggi, saya terpaksa,” ceritanya.

Mengikut tarikh jangkaan bersalin, Nor Bazilah melahirkan kembar empatnya pada 9 Januari 2012. Namun genap 28 minggu, iaitu pada 14 Oktober 2011, Nor Bazilah selamat melahirkan empat cahaya matanya melalui kaedah pembedahan. Keadaannya tenat ekoran masalah pernafasan dan dia dimasukkan ke unit rawatan rapi selama tiga hari. Begitu juga keempat-empat bayi yang perlu pengawasan rapi selama dua bulan.

“Sherlea lahir dengan berat 950 gram, manakala Seliesha 1.04 kilogram, Shazrick seberat 925 gram, sementara Shazrica pula hanya 755 gram. Shazrica sangat tenat pada hari ke-15 kerana dia yang sangat kecil. Terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya dan doktor menjangkakannya Shazrica tidak mampu bertahan. Saya sedih tetapi dalam masa yang sama saya redha dengan segala ketentuan-Nya. Namun begitu, Shazrica kuat semangat dan kini dialah yang paling besar di kalangan tiga kembarnya yang lain,” tambahnya.

Mereka Mudah Dijaga

Bukan satu tugas mudah membesarkan empat orang bayi dalam satu-satu masa. Begitulah tanggapan kebanyakan pihak. Bagaimanapun kenyataan tersebut kurang dipersetujui oleh ibu bapa Bazilah yang banyak memainkan peranan dalam proses pembesaran empat cucunya ini.

“Pada mulanya saya bercadang untuk mendapatkan pembantu rumah ataupun menghantar mereka ke pusat jagaan. Namun ayah dan emak tidak bersetuju. Sebaik sahaja anak-anak saya keluar dari wad, kami terus pulang ke kampung di Muar. Emak membuat keputusan untuk menjaga sendiri anak-anak saya kerana kurang yakin dengan jagaan pihak lain.

“Menjaga anak-anak ini mudah. Semenjak lahir, mereka tidak pernah demam. Cuma baru-baru ini keadaan berjerebu membuatkan mereka mengalami demam, batuk dan selesema. Kelam-kabut juga keadaan ketika itu kerana mereka bergilir-gilir dimasukkan ke hospital.

“Kebiasaannya, rutin harian mereka sama sahaja. Emak akan mengejutkan daripada tidur, kemudian memberi makan dan memandikan anak-anak secara bergilir. Setelah selesai Sherlea, barulah tiba giliran Seliesa dikejutkan. Begitulah seterusnya. Ini mengambil masa hampir dua jam sahaja. Waktu tengah hari, mereka bermain sesama mereka.

“Walaupun begitu, saya tidak melepaskan segala bebanan kepada emak dan ayah. Setiap hari saya menelefon emak untuk mengetahui keadaan anak-anak. Setiap petang Jumaat, saya bertolak pulang ke Muar dengan menaiki bas dan hanya akan pulang ke ibu kota dengan bas terakhir pada Ahadnya. Jika suami tidak bekerja pada hari Sabtu, barulah kami berdua pulang dengan menaiki kereta. Nasiblah majikan prihatin dengan keadaan saya dan memberi peluang kepada saya untuk bertugas pada waktu klinik sahaja,” kata Nor Bazilah yang memperuntukkan hampir RM2,000 sebulan untuk membeli susu dan lampin pakai buang serta keperluan bayi yang lain.

“Sememangnya menjaga mereka mudah. Mereka tidak takut orang lain. Tidur pun sendiri. Tidak perlu dimasukkan di dalam buaian mahupun ditepuk-tepuk untuk menidurkan mereka. Menangis pun jarang sekali. Walaupun menjaga empat orang cucu sekali gus, saya masih boleh melakukan aktiviti seperti biasa; memasak dan bersolat tanpa gangguan,” celah Rohana Sintal, 55 tahun.

Berbeza Sikap
 Bercerita mengenai karakter kembar ini, menurut Nor Bazilah, setiap anak-anaknya mempunyai sikap yang berlainan. Perbezaan inilah membuatkan kehidupan dia dan suami lebih bermakna dengan keletah anak-anak kesayangan mereka.

“Sherlea seorang yang pendiam tetapi lasak. Seliesha pula perkembangannya lebih pantas. Dia meniarap dahulu. Apabila diajar, dia mudah menangkap. Shazrick pula sangat sensitif. Kuat sahaja suara, dia akan menangis. Sementara Shazrica pula garang, mahukan perhatian, manja tetapi seorang yang fokus.

“Pada mulanya sukar juga untuk membezakan mereka. Saya cuba menggunakan kod warna. Biru untuk Sherlea, ungu untuk Seliesha, kuning untuk Shazrick dan merah jambu untuk Shazrica. Namun lama-kelamaan, mereka berkongsi baju. Untungnya sudah tentu Shazrica kerana tubuhnya yang lebih besar berbanding kembarnya yang lain,” tuturnya lagi.

Walau bagaimanapun kata Nor Bazilah, buat masa ini dia masih dalam tempoh percubaan untuk membawa keempat-empat anaknya ke tempat awam. Untuk tujuan itu, dia menggunakan sepasang kereta sorong bayi berkembar dan dua kereta sorong bayi ‘single’.

“Jika hendak keluar, sekurang-kurangnya saya perlu ditemani empat orang dewasa. Pengalaman sebelum ini membawa mereka keluar, tidak timbul sebarang masalah cuma mereka tidak suka menaiki kereta sorong,” ujar Bazilah mengenai si kembar empatnya itu.

5 comments:

Rasp said...

ya Allah...bestnya....
anugerahNya yg paling indah!
pada mata kasar i...
boy tu nampak cam dah besar skit kan....

attyfir said...

fuh..besh betul..kalo dpt kembar..
alhamdulillah kembar2 semua sihat

yang besh girl ngn boy pun ado..

ratna said...

Fuhhh kalau saya tu...berpeluh nak menjaga! Kalau nak kembar pun cukup la kembar dua jer.

SURIA AMANDA said...

kalau jenis x meragam mcm dalam citer ni x per..macam i ..my niece anak adik i tuh...lasak...x leh tinggal sekejap..ada jer diorang nyer kerenah..now dah besar ni makin lasak..itu kembar dua,kalau kembar 4...x leh nak gambarkan la...

Unknown said...

bestnyerrr...ramai n meriah